“Dalam sejarah
Islam, tiga pergerakan Islam berikut telah bangkit dan meyerupai satu dengan
yang lain di mana setiap satunya telah memainkan peranan yang besar dalam
memelihara keimanan orang-orang Islam : 1. Pergerakan Imam Rabbani, Shaykh Ahmad
Sirhindi di India. 2. Pergerakan Abdul Hamid ibnu Badis di
Algeria 3. Pergerakan Badi'uzzaman Sa'id Nursi di Turki.”
Prof. Abdul Wadud Celebi
(Universiti Al-Azhar, Mesir)
“Tidaklah
keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa saja keimanan Islam yang masih ada di
Turki pada ketika itu adalah atas usaha tanpa penat dari Badi'uzzaman Sa'id
Nursi”.
Maryam
Jameelah
BADIUZZAMAN SA'ID NURSI
Kekaguman Zaman
(Badi'uzzaman)
Badiuzzaman Sa'id Nursi
dilahirkan pada tahun 1877/ 1294 H di kampung bernama “Nurs”. Nama “Nursi” ialah
sempena nama kampung ini. Ia adalah perkampungan kecil yang terletak di daerah
Hizan dalam wilayah Bitlis, Timur Turki.
Beliau berketurunan Kurdi, dari keluarga yang miskin namun mulia
nasabnya. Ayahnya bernama Sufi Mirza, berasal dari Sungai Tigris, seorang sufi
Tareqat Naqsyabandiyyah dan sangat warak; tidak pernah menjamah yang haram dan
hanya memberi makan anak-anaknya dengan makanan halal sahaja. Salasilah dari
sebelah Mirza bersambung kepada Sayyidina Hasan bin 'Ali & Fatimah r.a anak
kesayangan Sayyidina Mawlana Muhammad s.a.w. Ibunya Nuriyyah juga ahli bait,
melalui saudara Sayyidina Hasan, iaitu Sayyiduna Husain r.a. Badi'uzzaman ini
anak keempat dari tujuh adik beradik. Apabila seorang guru Sai'd Nursi bertanya
bagaimana ibunya mendidik anaknya, ibunya menyatakan ketika mengandung dia tidak
memijakkan kaki ke tanah kecuali dalam keadaan berwuduk, begitu juga ibunya
tidak menyusukan Sa'id Nursi melainkan dalam keadaan berwudhuk.
Beliau menerima pendidikan asas daripada abangnya 'Abdullah dan para
ulama terkenal di daerahnya. Ketika masih muda, beliau telah menunjukkan
kecerdikan dan kemampuan yang luar biasa untuk belajar. Hal ini membuatkannya
terkenal di kalangan guru-guru, kawan-kawan dan orang ramai. Beliau mampu
menghafal sesebuah kitab dalam masa yang singkat. Ketika berusia 16 tahun,
beliau mengalahkan beberapa ulama terkemuka yang telah menjemputnya ke satu
majlis perbahasan (ketika itu perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan
ulama). Kemudian beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan ulama lain sebanyak
beberapa kali dalam majlis perbahasan. Kerana itu, beliau digelar oleh para
'ulama' muktabar di zamannya khususnya gurunya Fathullah Affandi sebagai 'Badi'uzzaman'
(Kekaguman Zaman). Beliau menguasai ilmu-ilmu agama seperti Tauhid, Fiqh,
Tasawwuf, Tafsir, Nahu, Matematik, Astronomi, Fizik, Geologi, Falsafah dan
sebagainya. Beliau telah berjaya menghafal kamus al-Muhit, karangan Syaikh
Fairuz Abadi sehingga huruf Sin. Beliau juga telah menghafal lebih 80
buah kitab. Ketika kehebatan beliau tersebar di Siirt, beliau menerima banyak
undangan untuk perdebatan (ia memang tradisi ilmiah yang subur di sana ketika
itu) dan menonjolkan lagi keilmuan dan kebijakannya sehingga mendapat jolokan
Sa'id-i-Meshur (Sa'id yang Masyhur)
Antara
guru-guru beliau:
1. Abangnya Syaikh 'Abdullah
2. Syaikh 'Abdur
Rahman Tagi
3. Syaikh Muhammad
Jalali
4. Syaikh Muhammad Amin
5. Syaikh Fathullah Affandi
6. Syaikh Muhammad Kufrevi
an-Naqsyabandiyy
Antara murid-muridnya yang masih hidup:
1. 'Abdullah
Yegin
2. Mehmet Firinci
3. Said Ozdemir
4. Salih Ozcan
5. 'Abdul Qadir Badili
Pengalaman pendidikan yang telah beliau lalui telah
membukakan fikirannya untuk memikirkan cara untuk menghasilkan sistem pendidikan
yang bersepadu. Ketika itu, dunia sedang memasuki satu zaman baru yang membawa
angin perubahan. Satu zaman di mana sains dan lojik memainkan peranan penting.
Beliau berpendapat ilmu agama perlu diajar di sekolah-sekolah moden dan sekular,
sebaliknya ilmu sains moden pula perlu diajar di sekolah-sekolah agama. Katanya,
“Dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden dilindungi dari kekufuran dan
para pelajar di sekolah agama akan dilindungi dari sikap taksub”.
Dalam usaha
merealisasikan cita-citanya, beliau telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali.
Kali pertama adalah pada tahun 1896 dan kali keduaya adalah pada tahun 1907.
Beliau cuba meyakinkan Sultan Abdul Hamid agar membina sebuah universiti di
Anatolia yang mengajar ilmu agama dan ilmu sains secara
bersepadu.
Ketika bercakap dengan
Sultan Abdul Hamid, Badiuzzaman menggunakan bahasa yang agak kasar sehingga
menyebabkan beliau dibicarakan di mahkamah tentera. Di mahkamah tentera pula,
beliau masih menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini,
para hakim mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa
untuk diperiksa. Walaubagaimanapun, doktor yang memeriksanya melaporkan “Jika
Badi'uzzaman gila, maka tidak akan ada seorang manusia siuman pun di dalam dunia
ini”. Dengan ini, beliau pun dibebaskan.
Keunikan Penampilan Badi'uzzaman
Sa'id Nursi
Syaikh ini sentiasa mendapat perhatian dengan
penampilannya yang berbeza dengan kebanyakan 'ulama'. Beliau menyelit
dipinggangnya sebilah belati besar dan pistol, selimpang yang melintang di
dadanya, memakai seluar, syal yang
melingkari topinya dan kasut but. Beliau dikatakan lebih mirip kepada seorang
tentera atau pegawai kerajaan berbanding 'ulama' dan tidak suka berpakaian
mewah.
Firasat Badi'uzzaman
Sa'id Nursi
Seorang
Mufti Mesir, Syaikh Bakhit mengajukan soalan kepadanya tentang liberalisasi yang
berkembang ketika itu dalam Empayar 'Uthmaniyyah dan Eropah, Sa'id Nursi
menjawab:
"Negara
'Uthmani sedang mengandungkan Eropah dan suatu hari nanti bakal melahirkan
negara Eropah, sedangkan Eropah sedang mengandungkan Islam dan suatu hari nanti
bakal melahirkan negara Islam"
Kebebasan
Pertama
Sering kali Badiuzzaman
menjadi sasaran tuduhan (fitnah) yang bertentangan dengan niat dan cita-citanya.
Ketika berlakunya pemberontakan Mac 31, 1909, beliau telah ditangkap dan
dibicarakan di mahkamah tentera atas tuduhan mencetuskan kekacauan. Sebenarnya,
beliau telah cuba mententeramkan keadaan dan telah berjaya melakukannya pada
sesuatu peringkat tertentu. Ketika mayat-mayat orang yang dihukum gantung masih
di tiang gantung di luar tingkap mahkamah, Badiuzzaman telah berjaya berhujah
mempertahankan diri dan akhirnya telah dibebaskan.
Selepas itu, beliau
kembali ke Timur Anatolia dan melawat kawasan-kawasan terpencil untuk
menerangkan kepada rakyat bahawa gerakan pembebasan yang sedang ditubuhkan di
Turki tidak bertentangan dengan Islam. Beliau telah memberitahu mereka bahawa
semua bentuk pemerintahan kuku besi (diktator) ditolak oleh undang-undang Islam.
Perundangan Islam akan berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam suasana
yang bebas merdeka. Kemudian beliau telah mengumpulkan syarahan-syarahannya itu
di dalam sebuah buku bertajuk Perbahasan.
Pada musim sejuk tahun
1911, Badiuzzaman pergi ke Damsyik untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad.
Para pendengarnya termasuklah 100 ulama yang terkenal. Dalam ceramahnya, beliau
berkata bahawa tamaddun sebenar yang berada pada Islam akan berdiri tegak di
dunia moden ini. Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali lagi untuk
meneruskan usahanya agar sebuah universiti didirikan di Anatolia Timur.
Badiuzzaman merupakan wakil bagi timur Turki yang mengiringi Sultan Muhammad
Resyad melawat Rumelia (daerah Balkan). Ketika di Kosovo Metohija, di mana
Sultan bercadang untuk membina sebuah universiti, beliau pun berkata, "Kawasan
Timur lebih memerlukan sebuah universiti kerana ia merupakan pusat Dunia Islam."
Beliau berjaya meyakinkan Sultan Muhammad Resyad agar menyediakan peruntukan
sebanyak 19,000 lira untuk tujuan itu. Beliau kemudian pergi ke Van dan
meletakkan batu asas universiti tersebut. Tetapi malangnya, pembinaan universiti
tersebut tidak dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama
meletus.
Dalam Perang Dunia
Pertama, Badiuzzaman menjadi pemimpin pasukan sukarelawan di medan perang
Kaukasia dan Anatolia Timur. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di
medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima Tentera Turki Uthmaniah,
termasuklah Anwar Pansya, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu.
Pasukannya telah digelar “Pasukan Topi Bulu”. Pasukan ini telah menggerunkan
tentera Russia dan pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah
menulis tafsirnya yang bertajuk “Isyaaratul I'jaz” di dalam bahasa Arab.
Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di
dalam kubu-kubu pertahanan. Tafsir ini kemudianya mendapat penghargaan daripada
para ulama terkenal.
Dalam satu pertempuran
menentang pencerobohan tentera Rusia, Badiuzzaman dan 90 orang pegawai lain
ditawan. Beliau dihantar ke khemah tahanan perang di Kostromaa, iaitu di barat
laut Russia dan ditahan di situ selama 2 tahun.
Badiuzzaman pernah
dijatuhkan hukuman tembak sampai mati kerana menghina Jeneral Nicholas
Nicolavich, Ketua Turus Tentera Rusia di medan perang Kaukasia, yang juga
merupakan bapa saudara Czar, Raja Russia. Walau bagaimana pun, hukuman itu
kemudianya dibatalkan. Peristiwa itu adalah seperti
berikut:
Pada satu hari, Jeneral
Nicholas Nicolavich melawat khemah tahanan tersebut dan berjalan di hadapan
Badiuzzaman tetapi ulama itu tidak bangun menghormatinya. Bila ditanya mengapa
beliau berbuat demikian, beliau lantas berkata, “Saya seorang ulama Islam dan di
dalam hati saya ada iman. Sesiapa saja yang ada iman di dalam hatinya adalah
lebih mulia daripada mereka yang tiada. Saya tidak boleh bertindak bertentangan
dengan iman saya.” Akibat dari peristiwa itu beliau kemudianya dibicarakan di
mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman mati. Sebelum hukuman dijalankan, beliau
telah sempat bersolat di hadapan pasukan penembak. Jeneral Nicholas Nicolavich
melihat kelakuannya itu dan datang kepadanya untuk meminta maaf. Jeneral itu
berkata beliau kini telah sedar bahawa Badiuzzaman bertindak demikian kerana
ingin berpegang teguh kepada imannya. Beliau pun meminta maaf atas gangguan
tersebut. Sungguh sedih sekali kerana penghormatan yang diberikan oleh orang
Russia, musuh lama orang-orang Islam tidak ditunjukkan oleh sebahagian
orang-orang Turki yang telah menyebabkan beliau menjalani hidup yang penuh
dengan berbagai penderitaan.
Kekacauan yang meletus
kerana Revolusi Komunis, memberi peluang kepada Badiuzzaman untuk melepaskan
diri. Selepas melalui satu perjalanan yang jauh, beliau pun sampai ke Istanbul
dalam tahun 1918. Di Istanbul, beliau dianugerahkan sebuah pingat penghormatan
atas sumbangannya di medan perang. Anuar Pasya, telah menawarkan kepadanya
beberapa jawatan di dalam kerajaan tetapi beliau menolak. Namun begitu, atas
cadangan pihak tentera beliau dilantik menjadi anggota Darul Hikmah Al Islamiah
tanpa pengetahuanya. Beliau tidak membantah kerana jawatan ini adalah jawatan
ilmiah semata-mata.
Semasa negara Turki
diceroboh oleh tentera penjajah selepas kalah dalam Perang Dunia Pertama.
Badiuzzaman telah menunjukkan penentangan yang terang-terangan kepada penjajah
British. Hal ini hampir membuatkan nyawanya melayang. Di antara kata-kata yang
ditujukan kepada pihak British yang ditulis di dalam akhbar harian ialah, “Wahai
anjing yang dianjingkan ke peringkat anjing yang tertinggi” dan “Ludahlah muka
British yang terkutuk dan tidak tahu malu itu”. Lantaran itu beliau menjadi
sasaran komplot bunuh pihak British. Dengan pertolongan Allah beliau terpelihara
daripada ancaman tersebut dan terus berhadapan dengan tugas dan cabaran-cabaran
baru yang sedang ditunggunya.
Dalam tahun 1922,
kerajaan Turki telah menjemputnya ke Ankara tetapi beliau menolak. Akhirnya,
selepas dijemput sebanyak 18 kali, barulah beliau bersetuju pergi ke Ankara.
Beliau disambut oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara
dengan penuh istiadat. Walaubagaimanapun, beliau mendapati apa yang ada di
Ankara tidaklah serupa dengan apa yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan
di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19
Januari 1923, beliau mengeluarkan satu kenyataan untuk para perwakilan mengajak
mereka menunaikan kewajipan bersolat. Hasilnya ialah, pada mulanya 50 hingga 60
daripada mereka mula menunaikan solat dan kemudiannya angka ini semakin
bertambah.
Badiuzzaman
menghabiskan masanya selama lapan bulan di Ankara dan kemudian ke Van. Beliau
menghabiskan dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat dan berzikir.
Sementara itu, satu pemberontakan berlaku di timur Turki. Para pemberontak
meminta sokongan Badiuzzaman kerana beliau sangat berpengaruh di kalangan rakyat
tetapi beliau menolak dengan berkata, “Pedang hendaklah digunakan ke atas musuh
dari luar. Ia bukanlah untuk digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu
kerana ia akan gagal. Ia akan mengakibatkan beribu-ribu orang lelaki dan wanita
yang tidak bersalah terbunuh lantaran tindakan beberapa orang
penjenayah”.
Sekali lagi Badiuzzaman difitnah dan
mengakibatkannya dibuang ke Burdur. Di Burdur, beliau dikenakan pengawasan ketat
dan menderita akibat penindasan dari pihak berkuasa. Hal ini langsung tidak
menyekatnya dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang ramai di sekelilingnya
dan mengumpulkan segala hasil penulisannya dalam bentuk buku. Kegiatannya ini
telah dapat dikesan lalu dilapurkan ke Ankara dan satu rancangan diatur untuk
menyekatnya. Pihak berkuasa kemudiannya menghantarnya ke Barla pula, sebuah
tempat terpencil di bahagian tengah Anatolia. Tempat tersebut dikelilingi
bukit-bukau dan mereka berharap Badiuzzaman akan mati di situ dalam keadaan
tidak bermaya dan keseorangan.
Dakwah
di Damsyiq
Beliau dijemput untuk berkhutbah di Masjid 'Umawi, Damsyiq
untuk menyampaikan hal ehwal umat Islam dan penyelesaiannya. khutbahnya dihadiri
oleh 100 orang 'ulama.
Kemunculan Risale-i
Nur (Risalah Yang Bercahaya)
Sebenarnya penyebaran
iman bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Berdakwah juga bukanlah satu
jenayah yang melayakkan nyawa seseorang diancam. Namun begitu, hal ini dianggap
satu jenayah pada ketika itu. Pada masa itu, kezaliman menyelubungi negara Turki
dengan segala kegelapan dan kezaliman. Azan telah diharamkan. Beratus-ratus
masjid telah digunakan untuk tujuan bukan keagamaan. Perancangan telah
dijalankan untuk memutuskan negara Turki daripada zaman silamnya yang terkenal
dengan segala nilai-nilai akhlaknya yang mulia. Sesiapa yang bercakap mengenai
agama memerlukan keberanian. Ketua Jabatan Percetakan Kerajaan boleh mengarah
sidang pengarang akhbar memotong sebarang makalah yang menyentuh isu agama dalam
tempoh 10 hari atas alasan merbahaya kerana boleh menyemai konsep agama di dalam
pemikiran para belia.
Dalam suasana beginilah
Badiuzzaman Said Nursi memasuki bahagian kedua hidupnya yang digelarnya "Said
Jadid” (Said Baru). Bahagian kedua dalam hidupnya ini ditumpukan sepenuhnya
kepada penulisan dan penyebaran mengenai iman dan Islam. Kebenaran iman ialah
kebenaran sejagat yang terpenting. Membangkitkan semula iman dan Islam menjadi
matlamatnya apabila beliau berkata, “Saya akan buktikan kepada dunia bahawa
Al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam”.
Maka itulah yang diperjuangkannya. Badiuzzaman tidak mati keseorangan di Barla
tetapi yang muncul ialah “Said Jadid” yang seumpama matahari, menyinari dunia
sains dan budaya. Semenjak itulah, beliau telah menyinari berjuta-juta manusia
dengan cahaya iman.
Di Barla, pengawasan
ketat dan penindasan sedang menunggu Badiuzzaman. Musuh-musuhnya masih belum
mengenalinya lagi. Inilah orang yang ditakuti tentera Russia ketika Perang Dunia
Pertama. Inilah orang yang sanggup meludah ke muka orang British yang menjajah
Istanbul. Inilah orang yang berjaya terlepas dari tali gantung sebanyak beberapa
kali. Walau bagaimanapun, mereka kemudian mengenalinya juga apabila terpaksa
berkata, “Segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya
menyekat Said Nursi dari meneruskan kegiatannya”.
Beliau telah
menghabiskan hidupnya di Barla selama 8 tahun setengah di bawah penindasan yang
dahsyat. Dalam tempoh tersebut, beliau sempat menulis 3 suku daripada Risale-i
Nurnya. Tafsirnya ini kesemuanya ditulis dengan tangan kerana pengarang dan para
pelajarnya tidak mampu menyediakan belanja percetakan. Sekalipun mereka mampu,
mereka tidak diberi kebebasan berbuat demikian. Tugas menulis tafsir ini dengan
tangan adalah kerja merbahaya pada ketika itu. Mereka yang melakukannya telah
disiksa di dalam penjara dan balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai
usaha dijalankan untuk menyekat orang ramai dari menghubungi
Badiuzzaman.
Sebanyak 600,000 naskah
ditulis dengan tangan.
Ketika itu penulisan
atau penyebaran walaupun hanya 1 karya agama bukanlah sesuatu yang sesiapa pun
berani lakukan. Inilah perjuangan berani yang berterusan yang menjadi pilihan
Badiuzzaman dan para pelajarnya. Apabila keadaan di mana Risale-i Nur ditulis
dan disebarkan ke seluruh Anatolia diambil kira, maka betapa benar kata Maryam
Jameelah, “Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa saja keimanan Islam
yang masih ada di Turki pada ketika itu adalah atas usaha tanpa penat dari
Badiuzzaman Said Nursi”.
Mereka yang memahami
intipati iman melalui Risale-i Nur mencapai tahap keimanan yang kental sehingga
mampu menunjukkan keberanian dan keperwiraan Islam yang hebat. Badiuzzaman, yang
mewakili roh Risale-i Nur sendiri telah menjadi pemimpin bagi ratusan ribu
pelajar dan kini telah mencapai jutaan pelajar yang menghayati karya tersebut.
Beliau menjadi contoh kepada orang-orang Islam lain di Turki ketika itu.
Beliaulah penyokong mereka di hari-hari yang penuh bahaya, seumpama seorang
ketua tentera yang memberi galakan kepada tenteranya melalui keberanian dan
kewibawaannya sendiri. Dengan ini, mereka pun berjaya menghilangkan ketakutan
dan syak wasangka dari hati orang ramai dan maruah negara dikembalikan. Mereka
telah membawa harapan dari kelegaan dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada
rasa cemas dan kecewa.
Pada tahun 1935,
Badiuzzaman bersama 125 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di
Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh perbicaraan berlangsung, mereka
terpaksa menghabiskan selama 11 bulan di dalam penjara Eskisehir yang penuh
dengan penderitaan. Walaupun begitu, mereka masih membawa harapan dari kelegaan
dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada perasaan cemas dan
kecewa.
Badiuzzaman kemudianya
dipindahkan ke Kastamonu selama 7 tahun. Di sana, Beliau masih terus menulis dan
menyebarkan Risale-i Nur. Oleh sebab beliau dan para pengikutnya tidak diberi
kebebasan, mereka telah menubuhkan rangkaian pengirim Risale-i Nur yang
dinamakan “Posman Nur” (Nurju). Hasilnya, Posman Nur telah berjaya menyebarkan
sebanyak 600,000 naskah Risale-i Nur ke seluruh
Anatolia.
Pada tahun 1943, beliau
bersama 126 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah
di Denizli. Kali ini beliau dituduh mencetak secara rahsia satu risalah di
Istanbul mengenai kewujudan Tuhan.
Perjuangannya tidak
pernah reda sama ada dalam buangan mahupun di penjara. Di dalam penjara, beliau
telah bertindak memulihkan para banduan dan penjenayah yang dianggap tidak
berguna oleh masyarakat. Beliau juga telah berjaya menghasilkan karya-karya baru
walaupun kertas dan pen tidak dibenar masuk ke dalam penjara. Jadi, karyanya
ditulis atas cebisan-cebisan kertas yang dikoyak dari kampit-kampit kertas.
Karyanya kemudian diseludup keluar di dalam kotak-kotak mancis. Karyanya yang
berjudul “Buah-buah Iman” telah ditulis dengan cara ini.
Perbicaraan di Denizli
berakhir dengan keputusan beliau dibebaskan sebulat suara. Tetapi ini tidak
bermakna beliau telah diberikan kebebasan sepenuhnya. Atas arahan daripada pihak
berkuasa di Ankara, beliau pun dihantar ke sebuah bandar lain bernama
Emirdag.
Kebebasan yang sudah
lewat
Bagi Badiuzzaman,
Emirdag juga sama dengan tempat-tempat yang lain. Sekali lagi beliau diawasi,
ditindas dan diancam. Namun begitu, beliau terus memperjuangkan iman dan Islam.
Tempohnya di Emirdag sekali lagi berakhir dengan penangkapanya. Kali ini beliau
bersama dengan 53 pelajarnya telah ditahan dan dihantar ke Mahkamah Jenayah
Afyon untuk dibicarakan. Beliau dipenjarakan di penjara Afyon selama 20 bulan.
Kekejaman di penjara ini adalah lebih teruk berbanding yang lain. Badiuzzaman
ketika itu berumur 75 tahun dan sedang menderita berbagai penyakit. Pihak
berkuasa telah meletakkannya di sebuah bilik penjara bersendirian yang mempunyai
tingkap-tingkap pecah walaupun beliau uzur. Di dalam bilik penjara bertingkap
pecah inilah Badiuzzaman menghabiskan dua musim sejuk yang sangat mencabar.
Apabila melihat musim sejuk pun tidak dapat membunuhnya, maka musuhnya telah
meracuninya (ada pendapat mengatakan beliau diracun sebanyak 19 kali). Ketika
beliau menderita kesakitan akibat racun tersebut, beberapa orang pelajarnya
memberanikan diri untuk menolongnya tetapi telah dibelasah dengan kejam
sekali.
Akhirnya hukuman ke
atas Badiuzzaman telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung. Walau bagaimanapun,
Mahkamah Agung telah mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Mahkamah
membatalkan hukuman tersebut setelah Badiuzzaman dan para pengikutnya
menghabiskan tempoh penjara yang sama panjang dengan hukuman yang dikenakan oleh
Mahkamah Afyon. Lapan tahun kemudian, akhirnya dalam tahun 1956, Mahkamah
tersebut mengistiharkan mereka tidak bersalah selepas mereka menghabiskan dua
tahun dalam penjara yang teruk.
Pilihanraya bebas dan
adil yang pertama telah diadakan di Turki pada tahun 1950. Sistem pelbagai parti
telah menggantikan sistem 1 parti. Pemerintahan kejam Parti Republikan Rakyat
yang tidak suka pada agama telah tamat. Pelbagai bentuk kebebasan dan hak mula
diikhtiraf. Satu zaman baru telah bermula bagi sejarah Republik Turki.
Pengharaman ke atas azan telah dibatalkan dalam sidang pertama parlimen baru
Turki. Dalam tahun-tahun berikutnya, Badiuzzaman terlibat dalam hanya 1
perbicaraan saja. Dalam perbicaraan di Istanbul ini, beliau tidak ditahan.
Keputusannya ialah beliau dibebaskan sebulat suara.
Selepas hampir seabad
berkhidmat untuk iman dan Islam, Badiuzzaman Said Nursi kembali ke rahmatullah
pada pagi 23 hb. Mac, 1960. Beliau telah pergi dengan penuh kemuliaan dan
kemenangan. Hasil karyanya akan terus menyinari abad ini dan abad-abad yang
mendatang. Kasih sayang yang dipupuknya akan diperturunkan dari satu generasi ke
satu generasi untuk selama-lamanya.
Pandangan terhadap
Risale-i Nur
Badiuzzaman telah
memahami sebab yang paling penting dalam keruntuhan dunia Islam sebagai
kelemahan dalam asas keimanan. Kelemahan ini bersama serangan-serangan pada asas
keimanan pada abad ke 19 dan 20 ini yang dijalankan oleh fahaman kebendaan,
ateis dan lainnya atas nama sains dan kemajuan menjadikannya insaf bahawa
keperluan yang mustahak dan genting adalah untuk menguatkan dan menyelamatkan
keimanan. Apa yang diperlukan adalah untuk mengerahkan semua tenaga untuk
membangunkan ajaran Islam melalui asas keimanan dan untuk menjawab
persoalan-persoalan keimanan ini pada tahap yang diperlukan dengan “Jihad yang
Maknawi” atau “Jihad dengan Ayat”.
Dalam masa penahananya,
Badiuzzaman telah menulis satu koleksi karya yang digelar Risale-i Nur, yang
menerangkan dan menghuraikan asas-asas keimanan dari kebenaran Al-Quran kepada
manusia moden. Metodologi yang digunakannya adalah dengan menganalisis keimanan
dan kekufuran serta menunjukkan melalui hujah-hujah yang rasional dan terang
bahawa bukan sahaja keimanan boleh dibuktikan, kesemua kebenaran yang terkandung
dalam keimanan seperti keujudan Tuhan dan keEsaanNya, kerasulan dan kebangkitan
manusia di hari akhirat dalam bentuk jasad juga dapat diterangkan sebagai satu
satunya penjelasan yang rasional dari keujudan manusia dan alam semesta
ini.
Dalam menjelaskan
keadaan yang sebenarnya dari tujuan utama penciptaan manusia dan alam semesta
ini, Risale-i Nur menunjukkan bahawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat hanya
boleh diperolehi dalam keimanan dan ilmu ketuhanan. Ia juga menunjukkan akibat
dari kekufuran, menyebabkan roh manusia dan hatinya mengalami kesakitan dan
kesedihan yang amat sangat di mana biasanya orang-orang yang sesat berusaha
untuk menghilangkannya melalui kelalaian dan menolak kenyataan. Oleh itu,
sesiapa yang mempunyai sebarang kesedaran boleh mengambil perlindungan dengan
cara berpegang kepada keimanan.
Berikutnya adalah
beberapa petikan yang di utarakan oleh tokoh-tokoh Islam ketika ini keatas
Badiuzzaman dan Risale-i Nur:
Dalam sejarah Islam, tiga pergerakan Islam berikut telah bangkit dan
meyerupai satu dengan yang lain di mana setiap satunya telah memainkan peranan
yang besar dalam memelihara keimanan orang-orang Islam : 1. Pergerakan Imam
Rabbani, Shaykh Ahmad Sirhindi di India. 2. Pergerakan Abdulhamid ibnu Badis di
Algeria 3. Pergerakan Badi'uzzaman Said Nursi di
Turki.
Prof. Abdul
Wadud Celebi
(Universiti
Al-Azhar,Mesir)
Saya percaya bahawa
penulisan dalam Risale-i Nur sahajalah yang melihat dengan secukupnya dan
menyeluruh kepada kosmos seperti keadaannya yang sebenarnya, menyampaikan
keimanan dengan pentafsiran Al-Quran seperti yang dikehendaki oleh Rasul kita,
mencari sebab penyakit yang menjangkiti manusia moden dan menawarkan ubat yang
dapat menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan sepenuhnya. Sesungguhnya saya
berkepecayaan bahawa pengarang Risale-i Nur layak untuk digelar
Mujaddid.
Dr. Colin Turner (Telah memeluk
Islam)
(Universiti
Manchester,England)